Saturday 26 March 2016

Al-Quran Menjawab Bersama Dr Danial (2012) E02 - Bagaimana Alam Ini Bermula

Quran & Teori Kejadian Alam (The Big Bang Theory)

أَوَلَمْ يَرَ الَّذِينَ كَفَرُوا أَنَّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ كَانَتَا رَتْقًا فَفَتَقْنَاهُمَا وَجَعَلْنَا مِنَ الْمَاءِ كُلَّ شَيْءٍ حَيٍّ أَفَلَا يُؤْمِنُونَ
Maksudnya: "Dan apakah orang-orang yang kafir tidak mengetahui bahwasanya langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah suatu yang padu, kemudian Kami pisahkan antara keduanya. Dan dari air Kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Maka mengapakah mereka tiada juga beriman?" (QS Al-Anbiya' : 30)

Ayat ini menjelaskan mengenai dua perkara penting. Pertama, mengenai asal-usul kejadian langit dan bumi yang pada asalnya bercantum padu sebelum dipisahkan antara kedua-duanya. Kedua, dijelaskan mengenai hakikat kehidupan air adalah asas bagi segala kehidupan.

Terdapat dua perkataan dala ayat ini, Ratqa dan Fataq. Ratqa berasal dari perkataan arab rataqa yang bermaksud sew up, ditampal dan dijahit. Ia melambangkan sesuatu yang terhimpun, melekat dan menguncup. Fataq pula berasal daripada bahasa arab fataqa yang bermaksud unsew, tear apart iaitu dibuka atau dibelah. Ini melambangkan sesuatu yang terbuka dan terungkai.

Berhubung dengan ayat ini, Imam Said bin Jubair berkata, "Langit dan bumi sebelum ini melekat antara satu sama lain. Apabila langit ditinggikan dan dengan itu zahirlah bumi maka berlakulah pemisahan dan itulah yang dijelaskan oleh Allah dalm ayat ini."

Kebenaran ayat Allah ini dibuktikan melalui Teori Big Bang, teori yang menjadi pegangan umum oleh para saintis mengenai permulaan alam semesta pada hari ini. Berdasarkan laporan yang terdapat dalam laman web NASA, dalam segmen Big Bang Cosmology, kejadian alam bermula 12 hingga 14 bilion tahun dahulu. Alam pada masa itu hanya berukuran beberapa meter sahaja. Sejak dari tarikh itu, ia sudah mengembang sehingga menjadi seperti yang dilihat pada hari ini.


Mengikut teori Big Bang, alam ini pada asalnya bercantum padu kemudian berlaku suatu letupan yang kuat,sekitar 12 hingga 14 bilion tahun dahulu. Kemudian berlaku pengembangan dan penyejukan, akhirnya lahir bintang-bintang, palnet-planet, galaksi dan yang seumpamanya.

Pada tahun 1929, seorang tokoh astronomi dari Amerika, Edwin Hubble, menemui bukti-bukti kukuh yang menyokong teori Big Bang. Dengan menggunakan peralatan canggih, beliau mendapati alam ini sedang mengembang. Penemuan ini mengukuhkan lagi pendapat yang menyatakan alam ini bercantum pada asalnya diikuti dengan letupan besar, ekoran dari letupan itulah yang menyebabkan pengembangan ini.

Justeru, kenyataan Al-Quran berhubung teori permulaan alam sememangnya saintifik. Antara pakar yang kagum dengan ayat ini adalah Dr. Alfred Kroner.seorang proffesor dalam bidang sains geologi. Berhubung dengan ayat ini, beliau berkata:" Melihat asal-usul Muhammad, saya rasa hampir mustahil untuk beliau mengetahui langit dan bumi mempunyai asal-usul yang sama. Hal ini kerana ilmu mengenainya baru diketahui beberapa tahun baru-baru ini, itupun dengan menggunakan alat-alat yang canggih. Seseorang yang tidak mengetahui ilmu fizik nuklear 1400 tahun dahulu saya rasa,tidak akan mampun mengetahui tentang hal ini."

Akhirnya beliau berkata, "Apabila kita menghimpunkan kesemua kenyataan Quran berkaitan dengan bumi dna kejadiannya, dan bila kita kaitkannya dengan sains, maka kita akan menyatakan kenyataan (Al-Quran) secara dasarnya adalah benar. Hal ini dapat dibuktikan dengan kaedah pendekatan saintifik."

Sumber: Quran Saintifik, Meneroka kecemerlangan Quran Daripada Teropong Sains,  Dr. Danial Zainal Abidin


Kejadian Langit Dan Bumi Daripada Asap
Alam semesta tidak terus wujud dalam bentuk yang kita lihat pada hari ini. Sebaliknya ia melalui beberapa proses tertentu. Antara proses itu adalah kelahiran gas-gas hidrogen dan helium yang kemudiannya bercantum sehingga menjadi gumpalan asap raksaksa. Dalam surah Fussilat ayat 11 Allah menyatakan :
ثُمَّ اسْتَوَى إِلَى السَّمَاء وَهِيَ دُخَانٌ فَقَالَ لَهَا وَلِلْأَرْضِ اِئْتِيَا طَوْعاً أَوْ كَرْهاً قَالَتَا أَتَيْنَا طَائِعِينَ

Maksudnya: "Kemudian Dia menuju ke langit dan langit pada masa itu berbentuk asap lalu Dia berkata kepadanya dan bumi, 'Datanglah kamu berdua dengan tunduk atau terpaksa'. Keduanya menjawab, 'Kami datang dengan tunduk'."

Di sini Allah menyatakan langit dan bumi diperingkat awal dahulu kosong daripada sebarang objek di langit. Yang wujud hanyalah asap. Daripada asap ini lahirlah bintang-bintang serta galaksi disusuli dengan kelahiran sistem suria dan bumi. Perkataan Dukahn yang di maksudkan di sini ialah asap,dalam bahasa inggerisnya ialah smoke. Penggunaan kalimat asap atau smoke ini selari dengan penemuan semasa kerana asap lahir dari satu suasana yang panas dan suasana di peringkata wal kejadian alam sememangnya panas.





Semasa menceritakan mengenai asap ini, para saintis mengaitkannya dengan gas-gas (terutamanya hidrogen dan helium) yang wujud seperti awan tebal di peringkat awal dahulu. Para saintis menyifatkan asap daripada gas ini sebagai dark clouds, cloud of gas, fog of neutral hydrogen and helium, hot mass of gas dan yang seumpamanya. Ia bermaksud, gas-gas di peringkat awal kejadian langit dan bumi wujud seperti bentuk awan-awan hitam, awan-awan daripada gas, awan-awan gas daripada hidrogen dan helium, gas bersuhu tinggi dan yang seumpamanya.

Kejadian langit dan bumi daripada asap menyentuh berkenaan kejadian objek-objek daripada asap. Oleh sebab bumi adalah satu objek, maka langit yang di nyatakan Allah juga merupakan objek-objek seperti bintang, galaksi dan seumpamanya. kesemua objek ini lahir daripada asap.

Antara saintis yang kagum dengan kenyataan Quran ini adalah profesor Yoshihide Kozai daripada Universiti Tokyo, Jepun. Beliau adalah pengarah National Astronomical Observatory di Mikata, Tokyo, Jepun. Beliau ditunjukkan ayat-ayat Quran yang menceritakan berkenaan kejadian langit dan bumi. Selepas mengkaji ayat-ayat itu, beliau merasakan seolah-olah ayat itu diceritakan oleh seorang yang melihat kejadian alam ini di peringkat tertinggi. Kuasa yang menceritakan kejadian ini mampu melihat kesemua apa yang berlaku. Berhubung dengan kejadian langit dan bumi daripada asap, beliau berpendapat penemuan-penemuan semasa menunjukkan fenomena-fenomena ini benar-benar berlaku. Alam sebelum ini memang wujud dalam bentuk gumpalan asap. Daropada asap itulah lahirnya bintang-bintang dan kelahiran itu menjadi batu asas kepada kelahiran alam ini.

Akhirnya beliau berkata, "Saya kagum dengan fakta-fakta astronomi yang terdapat di dalam Quran. Dengan membaca Quran dan menjawab persoalan-persoalan  yang timbul, saya rasa saya akan menemui cara untuk mengkaji alam semesta pada masa akan datang." Hal ini dilaporkan di dalam A Brief Understanding Islam, Darus Salam Publications,edisi kedua, Mei 1990.

Sumber: Quran Saintifik,Meneroka kecemerlangan Quran Daripada teropong Sains,Dr. Danial Zainal Abidin

Pengembangan Alam Semesta
Sejak alam ini wujud melalui ledakan Big Bang, ia terus mengembang hinggalah ke hari ini. Berhubung dengan fenomena ini, dalam surah Az-zariyat ayat 47 Allah menjelaskan :
وَالسَّمَاء بَنَيْنَاهَا بِأَيْدٍ وَإِنَّا لَمُوسِعُونَ

Maksudnya:"Dan langit kami bangun dengan kekuasaan kami dan sesungguhnya kami benar-benar meluaskannya."

Dalam ayat ini menggunakan ayat muusi'uun. Dalam bahasa arab perkataan muusi'uun berasal daripada perkataan wasa-'a. Hans Wehr A Dictionary of Modern Written Arabic oleh J Milton Cowan menterjemahkan perkataan wasa-'a sebagai to be wide, roomy, spacious, extensive yang bermaksud 'menjadi besar' atau luas. Justeru Imam Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-azim menyatakan ayat ini bermaksud, "Kami (Allah) meluaskan segenap penjuru langit dan kami meninggikannya tanpa tiang."

Pendapat ini diperkukuhkan lagi oleh As-Seikh Said Hawa di dalam Al-Asas fi al-Tafsir. beliau berkata, "Maksud ayat ini adalah langit ini Allah akan jadikan dalam keadaan mengembang secara berterusan ataupun Allah jadikan ia luas. Ayat ini adalah ayat mukjizat berhubung kejadian alam. Ia menunjukkan ilmu al-Quran jauh ke hadapan, melampaui tempat dan zaman. Justeru, sekiranya ada sesiapa yang masih enggan beramal denagn Quran kerana sombong denagn sains yang dimilikinya, baik sekiranya dia menilai semula dirinya sebelum terlambat."


Pada hari ini dengan bantuan alat yang canggih, penemuan-penemuan semasa semakin memantapkan lagi teori pengembangan alam ini. Pada tanggal 16 Mac 2006, di bawah tajuk, Astronomers Detect First Split-Second of the Universe,Space.com melaporkan pakar-pakar astronomi NASA menemui bukti-bukti baru yang mengukuhkan lagi teori Big Bang. Mereka mendapati pada peringkat awal, kejadian kosmos alam ini adalah lebih kecil daripada atom. Kemudian pada masa satu per setrilion saat ia mengembang sehingga menjadi kosmos yang luas. PEnemuan ini melaporkan berdasarkandata yang disalurkan oleh satelit NASA yang dilancarkan pada tahun 2001. Satelit ini dikenali sebagai Wilkinson Microwave Anisotropy Probe atau WMAP. Ini mengukuhkan teori alam mengembang sekali gus menampakkan kebenaran al-Quran.

Sumber: Quran Saintifik, Meneroka Kecemerlangan Quran Daripada Teropong Sains, Dr. Danial Zainal Abidin

Pembentukan Nebula
Apa yang menakjubkan di sini adalah proses kehancuran bintang sehingga bertukar menjadi bentuk bunga ros ini dinyatakan oleh Quran. Dalam surah ar-Rahman ayat 37,
 
فَإِذَا انشَقَّتِ السَّمَاء فَكَانَتْ وَرْدَةً كَالدِّهَان
Maksudnya:"Maka apabila langit terbelah dan menjadi merah mawar seperti kilapan minyak, maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu ingin dustakan?"
Ayat ini menceritakan mengenai langit yang sedang melalui proses kehancuran dan pada masa itu berubah menjadi merah seumpama bunga ros yang menyinar.




Salah satu contohnya adalah apa yang dikirimkan oleh teleskop ruang angkasa-Habel kepada kita berupa gambar-gambar sejumlah bintang ketika sedang terpecah pada tanggal 31 Oktober 1999 M.Biro Penerbangan dan Ruang Angkasa Nasional Amerika (NASA) menyiarkan sejumlah gambar yang ditayangkan oleh teleskop ruang angkasa tentang bintang yang mengalami fasa pemecahan.
 
Sekelompok bintang yang membentuk seperti kabut bercahaya yang sering disebut dengan nama mawar kemerahan yang mengkagumkan, inilah ibarat Al Quran yang sangat terperinci dan mengkagumkan. 

Sumber: Quran Saintifik, Dr. Danial Zainal Abidin
Orbit-orbit Bumi & Objek di Langit
Seorang pakar astronomi daripada Poland, Nicolaus Copernicus mengutarakan teori  yang dikenali sebagai teori helio sentrik. Melalui buku beliau yang diterbitkan pada tahun 1543 Masihi bertajuk De revolutionibus orbium coelestium (On the revilutions of the Heavenly Spheres), beliau mengatakan matahari berada dalam keadaan pegun di tengah-tengah angkasa manakala objek-objek lain di kosmos berpusing mengelilinginya. Hal ini dilaporkan dalam Stanford Encyclopedia of Philosophy di http://plato.stanford.edu/entries/copernicus.

Sebaliknya Quran menyatakan bumi dan matahari berputar dan tidak pegun. Sebagai contoh, dalam surah Al-Anbiyak ayat 33 Allah berkata,

 وَهُوَ الَّذِي خَلَقَ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ كُلٌّ فِي فَلَكٍ يَسْبَحُونَ

Maksudnya: "Dan Dialah yang menciptakan malam dan siang,matahari dan bulan. Kesemuanya beredar (yasbahuun) dalam falaknya."


Perkataan yasbahuun bermaksud berenang. perkataan berenang pada asalnya berkaitan dengan perbuatan seseorang yang bergerak dalam air melalui pergerakan anggota badannya. Begitulah kiasannya dengan matahari dan bulan. kedua-duanya bergerak sendiri di angkasa. Pendek kata, matahari dan bulan tidak pegun. Tambahan daripada itu oleh sebab perkataan falak digunakan, dan falak bermaksud bulat seperti sfera, ayat ini menunjukkan matahari dan bulan bergerak dalam bulatan.

Justeru di dalam Tafsir al-Quran al-Azim,Imam Ibn Kathir menukilkan pandangan sahabat Abdullah bin Abbas yang mengatakan 'malam dan siang' matahari dan bulan beredar dalam bulatan sebagaimana beredarnya rahat ketika menggulung benang'. Mengikut kamus Dewan, rahat ialah alat bulat seumpama roda yang digunakan bagi menggulung benang. Pentafsiran ini menunjukkan para sahabat di zaman nabi sudah berpegang dengan pendapat matahari dan bulan berputar dalam bulatan di atas paksinya sendiri.

Seperkara yang menarik dalam ayat ini adalah Allah mengatakan,malam dan siang, seperti matahari dan bulan juga berputar dalam falaknya. Semasa menjelaskan 'malam dan siang, matahari dan bulan beredar dalam falaknya', Allah menggunakan perkataan yasbahuun yang melambangkan banyak (lebih dari dua,dalam tatabahasa bahasa arab).

Said hawa di dalam al-Asas fi al-tafsir menjelaskan perkataan yasbahuun adalah perkataan perbuatan (verb) yang digunakan bagi objek yang berjumlah lebih daripada dua. Dalam ayat ini, jumlah objek yang Allah nyatakan hanya dua, iaitu matahari dan bulan. Di manakah objek yang ketiga?  malam dan siang bukannya objek sebaliknya adalah fenomena yang berlaku di atas bumi. Oleh sebab putaran malam dan siang berlaku di atas bumi, maka objek yang ketiga yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah bumi. Tambahan daripada itu, disebabkan Allah mengatakan malam dan siang berputar (yasbahuun), menunjukkan bumi berputar dan hasil daripada putaran bumi di atas paksinya, maka lahirlah fenomena siang dan malam.

Kesemua ini menampakkan Quran adalah sebuah kitab yang begitu saintifik kerana kenyataan-kenyataan ini adalah selari dengan penemuan semasa.

Sumber: Quran Saintifik, Dr. Danial Zainal Abidin

Orbit Mengelilingi Galaksi
Secara umumnya, apabila kita berbicara mengenai orbit (putaran) bumi dan objek-objek di langit, ayat-ayat Quran nampak seolah-olahnya memfokuskan mengenai satu aspek saja, iaitu mengenai putaran objek-objek ini di atas paksinya (seperti yang dibicarakan sebelum dalam tajuk 'Orbit-orbit bumi dan objek di langit, sebelum ini). Adakah ini menunjukkan tidak wujud putaran dalam bentuk lain bagi objek-objek ini?

Rupa-rupanya di dalam al-Quran terdapat ayat yang mengisyaratkan mengenai putaran yang berbeza. Ini telah tertulis di dalam surah Yasin ayat 38,Allah menyatakan,


وَالشَّمْسُ تَجْرِي لِمُسْتَقَرٍّ لَّهَا ذَلِكَ تَقْدِيرُ الْعَزِيزِ الْعَلِيمِ


Maksudnya: "Dan matahari beredar (tajri) ke tempat tujuannya (mustaqar). Demikianlah yang ditentukan oleh yang maha perkasa lagi maha mengetahui."

Perkataan yang penting dalam ayat ini ialah tajri dan mustaqar. Tajri bermaksud berlari dan mustaqar bermaksud tempat tujuan, perhentian atau tempat menetap. Di dalam al-Asas fi al-Tafsir, as-Syeikh Said Hawa mentafsirkan ayat ini dengan berkata, "(Antara tanda kekuasaan Allah adalah) matahari bergerak menuju ke tempat menetap baginya." Sekiranya ayat sebelum ini menyatakan matahari 'berenang atau bergerak dalam bulatannya', ayat ini pula menyatakan matahari 'berlari menuju ke tempat perhentiannya'. Justeru ayat pertama membicarakan mengenai putaran di atas paksi manakala ayat kedua membicarakan mengenai putaran (orbit) yang berbeza.

Penemuan semasa mengesahkan matahari, di samping bergerak di atas paksinya yang mengambil masa 25 hari bagi melengkapkan satu putaran, ia juga bergerak mengelilingi galaksinya yang bernama Bimasakti (Milky Way). Para saintis mengesahkan matahari bergerak mengelilingi bahagian tengah (nukleus) galaksi ini dengan kelajuan 220 km/saat (140 mi/s). Ini bermakna ia mengambil masa lebih kurang 225 juta bagi melengkapkan satu pusingan mengelilingi bahagian nukleus galaksi ini.

Justeru, dalam surah yasin,ayat 38 ini mensyariatkan objek-objek di langit (termasuk bumi) di samping berputar di atas paksinya, juga beredar mengelilingi pusat (nukleus) galaksinya mengikut ketetapan Allah seperti yang berlaku kepada matahri. Ini sudah memadai bagi merangsang umat Islam supaya terus mengkaji rahsia kejadian alam termasuk yang berkaitan dengan putaran dan peredaran objek-objek di langit.

Sumber: Quran Saintifik, Dr. Danial Zainal Abidin