Friday 12 February 2016

PANDANGAN ULAMA DAN SAINTIS


Islam mengambil pendekatan yang lebih teliti dan sepadu tentang sains. Islam tidak menentang usaha-usaha penyelidikan, mendapatkan data dan fakta, menghasilkan hipotesis dan mencipta teori. Tradisi tadabbur memang mendorong saintis Islam untuk mengetahui apa yang mereka perhati dan saksikan serta mengkaji segala yang ada di sekeliling mereka. Cuma tradisi tadabbur saintis Islam  tidak hanya mendapatkan data dan fakta tetapi yang lebih jauh menghubungkan data dan fakta dengan sesuatu disebaliknya. Saintis Islam banyak  menghubungkan fakta dan data sebagai sumber petanda kebesaran Allah.
Apabila saintis Islam menghubungkan kajiannya dengan kewujudan Pencipta, maka asas akidah, iman dan takwa menjadi garis pemisah antara saintis Barat dengan saintis Islam. Kajian saintis Barat terhenti setakat mendapatkan data dan fakta untuk menghasilkan hipotesis atau pun teori sebagai suatu usaha memahami kejadian dan fenomena dan menghubungkannya sebagai factor semulajadi. Sedangkan saintis Islam melihat sesuatu itu dalam hubungannya dengan Pencipta yang menjadikan alam dan seluruh isinya. Hasilnya mendekatkan lagi keyakinan saintis Islam kepada Allah s.w.t. Sesudah itu lahir jiwa kehambaan yang tinggi yang  mendorong rasa taat, patuh, akur dan tunduk kepada kebesaran-Nya. Dan darinya lahir jiwa kekhalifahan yang adil dan amanah ( al-‘adl wa al-ihsan) menguruskan ilmu dengan baik kerana semuanya itu adalah amanah Allah supaya mereka tidak melampaui batas. Amalan yang melampau batas bakal merosakkan manusia dan ala mini. Inilah asas tasawwur saintis Islam.
Pengembangan ilmu Islam tidak menolak faktor-faktor yang bermanafaat yang ada pada pemikiran, teknologi yang terhasil daripada tamadun lain. Meskipun Islam menekankan konsep ilmu yang bermanafaat, namun sesuatu yang memberi faedah daripada maklumat, pengetahuan dan teknologi orang lain boleh diguna pakai asal sahaja tidak bercanggah dengan maksud manafaat. Komputer boleh digunakan oleh orang Islam sekiranya perisian dalam komputer membangunkan akal budi insan. Televisyen boleh digunakan oleh orang Islam selagi program yang ditonton tidak merosakkan akidah dan akhlak penontonnya. Membangun perisian dan program yang selari dengan tasawwur Islam adalah cabaran yang perlu dipenuhi oleh umat Islam.
Dalam banyak hal, ilmu teknologi dan ilmu alat adalah berguna untuk manusia.  Ia bergantung kepada sikap dan nilai yang ada pada pengguna. Sekiranya pengguna kepada alat atau teknologi adalah orang yang beriman dan bertakwa maka alat dan teknologi tidak akan disalahgunakan. Sekiranya alat dan teknologi digunakan oleh mereka yang tidak beriman dan bertakwa, tidak ada batasan dan halangan sesuatu untuk disalahgunakan untuk kepentingan nafsu dan naluri kerana apa yang dilakukan tidak dirujuk kepada Allah dan redha-Nya dan tidak dihubungkan dengan ikatan halal dan haram atau makruf dan mungkar.
Di sini pentingnya integrasi atau Islamisasi ilmu. Integrasi bermaksud bagaimana ilmu dan teknologi diberikan orientasi nilai, etika dan adab. Islamisasi bermaksud bagaimana asas akidah, akhlak dan syariah dijadikan landasan membangunkan ilmu. Kalau diibaratkan sebatang pokok, akar tunjangnya ialah akidah, batangnya adalah ibadah, dahan dan rantingnya adalah syariah dan  fekah, manakala bunga serta buahnya adalah akhlak.
Sekiranya terdapat ilmu-ilmu dan teknologi dari tamadun lain yang bermanafaat, ia harus diklonkan dengan pokok yang asal supaya ilmu-ilmu yang diklonkan itu diberi orientasi baharu berasaskan nilai, etika dan adab yang akhirnya menjadikan ia berguna untuk manusia. Tanpa asas integrasi dan Islamisasi ilmu, maka cabang-cabang pokok tersebut akan berkembang dan dipengaruhi unsur duniawi  dan menolak faktor ukhrawi.
Faktor duniawi ialah sesuatu yang  Allah ciptakan dalam alam dan kehidupan ini terkandung rahmat dan hikmah. Bagi mereka yang berusaha dan  rajin mengubah diri, mengubah kehidupan dan mengubah nasib. Tuhan tidak menghalangnya daripada menempa kejayaan. Bezanya orang Islam yang beriman dan bertakwa dengan mereka yang kufur ialah apabila usaha disandarkan kepada redha Allah, maka lahirlah niat jujur dan amanah. Bila diamal dan dilaksanakan dalam kehidupan, ia tidak sahaja memberi kesan duniawi tetapi juga dilihat sebagai sumber ibadah dan membawa kesan ukhrawi. 



Isu ilmu dan Islam adalah isu yang berkait rapat dengan masalah epistemologi. Epistemologi berkait rapat dengan teori bagaimana sesuatu  ilmu itu lahir, bermulanya sesuatu ilmu atau bagaimana timbulnya sesuatu ilmu  atau bagaimana ilmu itu dibangunkan. Contohnya, sebahagian besar orang yang berfikir sekular berpendapat bahawa alam ini terjadi secara kebetulan. Asasnya ialah menerusi kajian yang dikatakan saintifik berasaskan pendekatan rasional, logik dan juga empirikal. Ia dilakukan secara ujikaji, pemerhatian dan pengumpulan data dan fakta. Pandangan mereka tidak berdasarkan sebarang maklumat atau fakta daripada kitab-kitab agama. Sebaliknya dari sudut Islam, epistemologi tentang kejadian alam ini di dasarkan kepada sumber wahyu. Al-Quran dalam ayat 164 surah al-Baqarah umpamanya dengan jelas menyatakan tentang kejadian langit dan bumi serta alam ini adalah hasil proses penciptaan oleh Allah s.w.t bukan terjadi dengan sendiri.
Asas epistemologi ini telah menyebabkan tasawwur atau perspektif Barat dengan Islam berbeza. Tetapi selepas terbinanya Teori Big Bang atau Teori Dentuman besar, pandangan Barat tentang kejadian alam mula berubah. Teori Charles Darwin di dalam karyanya The Origin of Spesies mengenai proses evolusi mula dipertikaikan khususnya dalam kalangan saintis Barat sendiri. Epistemologi Barat tentang penciptaan dari Allah s.w.t tidak berlaku. Ia dilihat sebagai dogma walaupun Plato dan Aristotle cuba memberi asas falsafah  dan logiknya tentang alam dan manusia namun the power of reason tetap dominan. Epistemologi inilah yang menyebabkan tasawwur sebahagian besar saintis Barat tentang tuhan dan agama adalah tidak selari dengan apa yang ada pada orang Islam. Orang seperti Nietzsche menyatakan bahawa ‘Tuhan sudah mati’ yang bermaksud Tuhan dan agama tidak wujud dan tidak ada kena mengena dengan ilmu. Ilmu harus dilihat secara saintifik. Sainslah yang membuka mata dan mencerdaskan fikiran manusia daripada belenggu kejahilan kepada bijaksana. Inilah tanggapan saintis Barat.
Dalam sains tabii  tidak terdapat banyak masalah kerana hukum hakam semuanya mengikut peraturan (nizam) yang ditentukan oleh Allah s.w.t. Ia tidak berubah tanpa izin-Nya. Ia juga sama di semua tempat dan zaman. Tetapi, diperingkat teori dan hipotesis terdapat beberapa masalah kerana di peringkat ini ia di peringkat konsep dan belum lagi disahkan kebenarannya. Teori atau hipotesis yang menyalahi wahyu perlu ditapis umpamanya Teori Evolusi Darwin dan Teori Mekanis Descrates berkenaan kejadian alam semesta.
Di dalam bidang sains bukan tabii atau sains sosial Barat (Non Physical Science) pula seperti ilmu kemasyarakatan, kebiasaannya terdapat banyak masalah kerana terdapat banyak teori sekular Barat moden yang bercanggah dengan ilmu wahyu. Ini adalah disebabkan asas pemikiran sekular  menyatakan Pencipta tidak wujud. Pencipta tidak menurunkan sebarang wahyu untuk memandu manusia. Pencipta tidak mengutuskan rasul-rasul bagi manusia dan Hari Akhirat tidak wujud.  Ini adalah satu kelemahan paling besar dari segi asas ilmu sekular Barat moden.

No comments:

Post a Comment